Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Wednesday, February 15, 2012

Azza mengaku bercerai dengan Ehsan kerana tidak matang dan fitnah orang

Share







Azza berkahwin dengan bekas suaminya iaitu Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Edruce,jejaka sarawak yang kalau tak silap Sensasi bekas suami penyanyi Camelia pada usia muda iaitu 23 tahun.Disebabkan hubungan jarak jauh dan hasutan orang ketiga Azza telah hilang pertimbangan dan meminta cerai daripada bekas suami,

Kerana perceraian juga Azza mengalami tekanan dan kemurungan...


“Waktu itu saya muda lagi dan tak fikir panjang. Apa saja orang cakap, saya terus percaya sedangkan Ehsan suami yang baik. Tanpa kepercayaan, hubungan jarak jauh sangat menyukarkan. Saya sayangkan Ehsan tetapi saya mudah terkena hasutan kerana saya belum matang untuk berhadapan dengan cabaran.

“Saya akui banyak melakukan kesilapan dan sepatutnya saya yang berkorban untuk berada di samping suami tetapi waktu itu saya hanya fikirkan diri sendiri dan kerja saya saja sampai tak tahu macam mana mahu membahagikan masa dengan rumah tangga.“Selepas apa yang berlaku, baru saya sedar fitnah itu boleh membunuh. Oleh kerana saya dah tak tahan, saya yang minta cerai dan sebab itulah saya merahsiakan perceraian itu daripada keluarga terutama emak saya, Rahmah Abdullah kerana saya berasakan semuanya salah saya.


“Selain sibuk berlakon, sukar untuk saya membuat keputusan untuk tinggal bersama suami di Sarawak atau menetap di Kuala Lumpur kerana saya rapat dengan emak dan tak sanggup berjauhan dengannya. Lalu saya ambil jalan tengah duduk seorang diri di Kuala Lumpur. Saya juga bersifat keanak-anakan dan suka mengambil tindakan terburu-buru.

“Dulu saya juga tidak ada ramai kawan, kalau adapun dengan anggota Elite saja. Selepas habis kerja, saya terus balik rumah dan tiada siapa yang menasihatkan saya apa yang perlu dibuat dan perkara yang sepatutnya saya elakkan. Saya asyik fikir yang buruk saja.

“Selepas mengerjakan umrah pada 2003, barulah saya tenang sedikit tetapi hubungan kami tidak boleh dibaiki lagi,” katanya yang hanya sempat melayari bahtera rumah tangga selama lima tahun.

Kini Azza sedar hubungan dalam rumah tangga bukan berdasarkan cinta semata-mata tetapi kesabaran, toleransi, percaya dan saling memahami perlu ada. Apabila semua rencah itu ada, tanpa mengira di mana pasangan kita berada, kita tidak bimbang melepaskannya seorang diri.

“Kerja Ehsan memerlukan dia bertemu dengan ramai orang termasuk lelaki dan perempuan. Saya tak faham dan tidak cuba untuk memahaminya sehingga membuatkan saya cemburu. Perkara yang kecil saya besar-besarkan, pada hal ia tak ada apa pun.

“Selepas bercerai, saya terus mengurung diri di rumah, tak mahu berjumpa sesiapa. Segala masalah saya simpan dalam hati dan kesan perceraian itu sangat menyakitkan. Tambahan ketika itu keluarga tidak tahu, jadi bayangkan bagaimana setiap kali berjumpa emak dia bertanyakan Ehsan sehingga saya terpaksa mencipta pelbagai alasan sedangkan hakikatnya kami tidak sebumbung lagi.

“Ada kawan-kawan dan wartawan yang tahu saya sudah bercerai tetapi mereka berpegang pada janji untuk tidak menghebahkannya. Emak tahu pun selepas dua tahun perceraian itu terjadi apabila dia terbaca berita mengenainya dalam majalah. Saya berani ‘buka’ cerita selepas kawan-kawan menasihatkan saya supaya bercakap perkara yang sebenar kerana mereka kasihankan keadaan saya yang sangat teruk waktu itu.

“Siapa yang mengenali saya dan Ehsan, tak percaya yang kami bercerai kerana Ehsan melayan saya dengan baik. Tiba-tiba saja tahu kami sudah bercerai. Emak pun tak terkata apa kerana ia sudah pun berlaku. Sekarang apabila difikirkan semula berdosanya saya kerana minta cerai dengan suami.

“Apa yang terjadi memberi pengajaran pada saya dan semoga tidak berulang pada perkahwinan saya yang kedua nanti. Saya akan belajar dari kesilapan lalu dengan lebih banyak bersabar, bertolak ansur dan tidak bertindak terburu-buru. Jika ada perkara yang dirisaukan, tanya kepada pasangan anda sendiri dan bukannya merujuk kepada orang lain kerana ia mengundang bahaya.

“Sebelum kami bercerai, saya ambil anak angkat perempuan yang diberi nama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun. Saya membina semula kekuatan diri apabila melihat wajah comelnya dan emak kata, kalau saya tak keluar bekerja macam mana saya nak dapat duit untuk membesarkan Marissa.

“Saya bercerai pada 2005 dan pada 2008 barulah saya beroleh kekuatan untuk keluar dari kesedihan dan kemurungan. Itupun disebabkan kawan-kawan terutama Roslan Shah yang setiap hari pujuk saya keluar berjumpa orang, berlakon dan menyanyi semula.

“Kalau Roslan mendapat jemputan membuat persembahan dia akan heret saya sekali sehinggalah saya benar-benar rasa bersemangat semula. Daripada situlah saya rasa hidup ini kembali bermakna kerana ada juga kawan yang sudi berkongsi kesedihan saya. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan dengan sokongan keluarga serta kawan-kawan saya mulakan langkah baru,” katanya.

Selepas berusaha meninggalkan segala kenangan pahit, Azza sekarang terus aktif berlakon di mana setiap bulan ada saja tawaran berlakon yang datang kepadanya.

Berderet drama lakonannya yang sedang menunggu masa untuk disiarkan. Nama Azza kembali diingati selepas dia berlakon sebagai Wan dalam drama komedi popular, Kiah Pekasam bergandingan dengan Rozita Che Wan.

“Dalam drama itu , Wan adalah saingan kepada Kiah iaitu watak yang dipegang oleh Rozita. Sejak itu pengarah mula ‘nampak’ akan kewujudan saya dalam bidang lakonan yang agak tenggelam seketika.

“Rezeki Kiah Pekasam kerana ia terus disambung daripada satu kisah ke pada satu kisah yang lain dan insyaAllah dalam perancangan penggambaran siri Kisah Pekasam yang baru akan dirakamkan di Jepun,” katanya.

Bakal berkahwin dengan Pramugara Air Asia



SELEPAS enam tahun menjanda, Noor Azzarima Zawari atau Azza, 34, bakal menamatkan zaman solonya dengan seorang pramugara, Azlan Zulaili yang muda beberapa tahun daripadanya.

Namun Azza yakin perbezaan usia itu bukan halangan untuk mereka mendirikan rumah tangga bahagia kerana apa yang penting saling memahami dan menghormati.

“Saya tidak bimbang dengan jarak usia kami kerana selama berkawan, saya dapati Azlan lelaki yang baik dan bertolak ansur. Saya yakin dia akan jadi suami dan bapa yang baik kepada anak-anak kami nanti.

“Saya akan berkahwin pada masa terdekat dan sedang mencari tarikh yang sesuai. Persiapan sedang dibuat, tiba hari bahagia itu nanti saya akan beritahu semua. Saya berharap jodoh saya dengan Azlan akan berpanjangan.

“Insya-Allah detik yang bahagia itu akan tiba tidak lama lagi dan kami sedang membuat persiapan. Semoga jodoh saya kali ini kekal sehingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang sihat serta comel,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-