Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Monday, September 6, 2010

Aida Aris Selamat bernikah pada 25 Ramadhan

Share















Pasangan ini bertemu pada 17 Februari tahun ini dalam majlis hari jadi Aida. Husfarid meminta nombor telefon Aida dan memberanikan diri untuk berjumpa dengan wanita itu ditemani rakan-rakannya selang satu hingga dua minggu selepas itu. Pada bulan April lalu, terus Ketua Pramugara MAS itu nekad untuk melamar Aida sebagai isteri.

Husfarid telah hidup menduda selama tiga tahun dan hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7.

“Bagi saya, semua ini ketentuan Allah yang menemukan saya dengan Aida. Bagi saya, Aida bukanlah seorang wanita yang sombong, tidak materialistik, sentiasa merendah diri dan menjadi dirinya sendiri.

“Anak-anak saya juga dapat menerimanya dan saya lihat mereka mudah serasi, alhamdulillah. Saya tak kisah jika Aida mahu meneruskan kariernya dalam bidang lakonan selepas ini dan dia berhak membuat keputusan dalam hidupnya. Saya berharap semoga hubungan ini berkekalan,” kata Husfarid yang berkhidmat dalam MAS selama 16 tahun.

Setelah menjanda selama lima tahun, Aida juga seperti wanita lain yang ingin dicintai oleh lelaki. Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan penerbit program, Bob Azrai namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun.

“Hati saya ringan untuk menerima dia (Husfarid) sebagai suami kerana dia betul-betul ikhlas untuk menerima saya sebagai isterinya. Tentang cahaya mata, saya terima dan berserah sahaja kepada rezeki.

“Saya juga tiada masalah untuk bergelar ibu ‘segera’ kepada anak-anaknya kerana saya mempunyai ramai anak saudara. Lagipun, saya sudah biasa berlakon sebagai seorang ibu. Jadi sebab itu saya tak perlu mengambil masa yang lama untuk mesra dengan kanak-kanak,” kata Aida yang baru mengenali anak-anak Husfarid dalam bulan ini.

Selepas ini, Aida akan memulakan kehidupan baru dengan keluarga barunya itu di rumah yang baru didudukinya sejak sebulan lalu.

Menyentuh tentang karier, Aida yang baru selesai menjalani penggambaran filem Senjakala itu dijangka akan membintangi sebuah telefilem selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pada Hari Raya Pertama nanti, mereka akan beraya di Kuching dan Kota Kinabalu memandangkan Husfarid terpaksa bertugas di awan biru.

Ditanya tentang bulan madu, pasangan ini belum menetapkan lokasi percutian mereka sebaliknya akan memikirkan selepas Hari Raya nanti.

Majlis resepsi mereka berlangsung pada malam tadi di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin bertindak selaku pereka persalinan untuk majlis nikah dan resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.

Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini. Yang penting, mereka mahu melaksanakan yang wajib terlebih dahulu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-