Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Tuesday, June 15, 2010

kes bunuh kanak-kanak 3 tahun: Otak Syafiah Humaira Bengkak, Hati Koyak - Pakar Forensik

Share







SHAH ALAM: Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor memberitahu bahawa otak kanak-kanak yang mati dibunuh kejam, Syafiah Humaira Sahari bengkak dan berlaku pendarahan pada organ dalaman seperti hati dan buah pinggang.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Shahidan, 51, berkata, hati kanak-kanak itu lebam dan koyak di bahagian bawah manakala salur darah buah pinggang kanan turut koyak menyebabkan berlaku pendarahan di sekeliling organ tersebut.

Berdasarkan bedah siasat yang dijalankan 27 Februari lalu, saksi pendakwaan ke-25 itu merumuskan bahawa kecederaan kepala dan abdomen sebagai punca kematian Syafiah Humaira yang berusia 3 tahun 4 bulan.

Selain kecederaan dalaman, Shahidan turut menemui 20 kesan kecederaan luaran, iaitu lebam dan calar pada bahagian muka serta badan kanak-kanak itu.

“Kesan lebam terjadi apabila satu daya objek tumpul dikenakan pada bahagian badan menyebabkan salur darah halus pada tisu pecah dan menyebabkan pendarahan. Tetapi, pada kulit tiada kesan kecederaan,” katanya.

Beliau yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada pemeriksaan utama juga berkata, kecederaan yang dialami Syafiah Humaira adalah baru 48 jam sebelum bedah siasat.

Meskipun kecederaan yang dialami kanak-kanak malang itu serius, Shahidan berpendapat kanak-kanak itu masih berpeluang untuk hidup jika menerima rawatan segera.

“Saya berpendapat Syafiah Humaira boleh diselamatkan jika pendarahan boleh dihentikan dan organ-organ dibetulkan,” katanya dan menambah dalam kes ini, pendarahan abdomen lebih cepat menyebabkan kematian berbanding kecederaan kepala.

Shahidan yang berpengalaman menjalankan lebih 1,200 bedah siasat juga memberitahu, seseorang dewasa juga boleh menemui ajal jika mengalami kecederaan seperti mangsa.

Pada pertengahan prosiding, Shahidan turut menjalankan eksperimennya secara terbuka iaitu mengukur tapak kasut bola jenama Puma yang didakwa digunakan tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil untuk memijak, menendang dan menyepak Syafiah Humaira.

Dengan menggunakan tali pengikat fail berwarna hijau dan pembaris plastik, saksi begitu tekun membandingkan tapak kasut bola itu dengan kesan kecederaan berbentuk ‘U’ pada abdomen kanak-kanak terbabit.

”Saya boleh mencadangkan tapak kasut inilah yang menyebabkan kecederaan pada Syafiah Humaira” katanya selepas beberapa minit.

Dalam kes ini, Mohd Fazli Azri, 28, dibicarakan atas tuduhan membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pemandu teksi yang diwakili peguam Gurbachan Singh kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika disabitkan bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-