Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Thursday, May 27, 2010

Remy Ishak kini berkulit hitam terbakar

Share








RAMAI wartawan dan jemputan terkejut dengan perubahan Remy Ishak ketika hadir pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di Hotel Palace of the Golden Horses, baru-baru ini. Kulit pelakon siri Nur Kasih yang menjadi igauan ramai wanita ini tampak gelap terbakar.

Tanpa berselindung, Remy akui kesan ini dihadapinya apabila berlakon dalam siri baru Arjuna terbitan KRU Studios, arahan Helmi Khalim. Menerusi drama yang bakal menemui peminat dalam slot Aksi TV3 bermula 31 Mei ini, Remy membawa watak utama, Arjuna seorang wira sebelum Zaman Besi.

“Saya baru tamat penggambaran drama ini. Setiap siri mengandungi 13 episod tapi produksi dibuat terus untuk dua musim. Penggambaran bermula sejak Januari lalu di Pulau Indah, Hulu Langat, Kemensah, dan Ulu Yam. Penggambaran di luar terutama di tengah panas terik sekitar Pulau Indah membuatkan kulit saya teruk terbakar. “Pelakon lain pun mengalami benda yang sama juga tapi sayalah yang paling teruk kerana pegang watak utama. Saya tak kisah kerana inilah pengorbanan berlakon cerita ini. Lagipun kalau kulit saya nampak putih bersih dan ‘jambu’ tak sesuai pula jadi hero kerana Arjuna digambarkan sebagai orang kampung.


“Tak dinafikan saya sekarang cuba kurangkan kesan terbakar antaranya dengan berkurung dalam rumah. Ada juga usaha pakai produk untuk memutihkan kulit. Saya tak buat rawatan yang rapi seperti mandi susu cuma hanya gunakan sabun susu kambing ketika mandi. Tengoklah juga keadaannya kalau tiada perubahan juga pada kulit, saya mungkin akan buat rawatan mandi susu dan lulur,” katanya.


Menjelaskan lebih terperinci mengenai siri Arjuna, Remy menjelaskan jalan ceritanya seakan-akan komik pahlawan yang popular dalam kalangan pembaca sekarang. Pembikinan drama seperti ini di Malaysia adalah satu pembaharuan tersendiri dalam genre drama aksi. Apatah lagi unsur seni mempertahankan diri yang ditampilkan bukan seperti silat biasa.


“Aksi yang ditonjolkan nampak seperti kung fu. Arjuna seorang pemuda yang mahu menuntut bela di atas kematian keturunan dan keluarga serta mencari semula pedang sakti bernama Citra Dewata. Turut berlakon ialah Nora Danish (Cempaka), Aman Graseka (Satria Aduka) Riz Ainuddin (Andika), Dira Abu Zahar dan Fikri Bakar.


“Kelainan lain yang ada ialah produksi sanggup reka rumah khas untuk dijadikan props. Watak jahat yang ada pun menarik kerana berkarakter dan mempunyai kuasa tersendiri seperti hikmat aura. Kami disediakan seorang koreografer seni yang memantau aksi yang ditampilkan. “Walaupun ada pelakon ganti untuk buat adegan aksi saya rasa satu kerugian pula kalau tak buat sendiri. Jadi, saya buat sendiri aksi pergaduhan dalam Arjuna tapi dengan pengawasan koreografer seni. Selepas melihat hasilnya saya sangat berpuas hati dan berbangga dengan drama ini,” katanya.


Cempaka pula digambarkan sama-sama berjuang dengan Arjuna dalam misi menuntut bela, tapi Remy enggan menjelaskan kesudahan cerita sama ada mereka bercinta atau tidak kerana mahu peminat mengikuti sendiri nanti. Remy menyifatkan Nora seorang yang profesional walaupun ini kali pertama mereka digandingkan. Namun, dia enggan digosip dengan pelakon comel itu.


“Saya senang bekerja dengan Nora kerana dia tak sombong dan memberikan yang terbaik. Lakonan kami pun berjalan lancar tanpa masalah. Jangan fikir negatif kerana saya tiada apa-apa perasaan pun dengan dia. Ketika berlakon saya dah set dalam fikiran hanya mahu bekerja, bukan fikir perkara lain selain kerjasama antara kami,” katanya.


Pelakon berusia 28 tahun yang dikatakan intim dengan Maya Karin ini turut dicuit mengenai persoalan teman hidup. Dia dilihat sangat berahsia soal peribadi. Adakah dia serik untuk bercinta? “Buat masa ini saya senang sendirian. Hidup saya tenang tanpa cinta. Saya tak boleh bagi komitmen terhadap kekasih kerana sibuk dengan karier. Sampai masanya apabila dah bersedia barulah saya akan bercinta. Lebih baik saya serahkan persoalan ini kepada takdir. Saya bukannya serik untuk bercinta lagi tapi biarlah saya kukuhkan kedudukan dalam karier dulu,’ katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-