Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Wednesday, April 28, 2010

Lisdawati Percaya Suaminya Setia

Share








KUALA LUMPUR: “Berbuih mulut saya jelaskan setiap kali berdepan soalan sama seperti ini. Apa lagi yang mampu saya katakan. Demi Allah, saya percayakan suami dan kehidupan kami bahagia seperti hari pertama kami berkahwin dulu.

“Perkara ini sudah basi dan tidak perlu diungkit lagi hanya kerana kisah kecurangan aktor atau apa saja gosip yang timbul baru-baru ini. Itu tidak adil untuk terus menembak suami saya kerana jujurnya saya kenal siapa dia,” kata aktres jelita, Nisdawati Nazaruddin atau Lisdawati ketika menjawab desas-desus yang mengaitkan suaminya yang juga pelakon popular, Mohd Fauzi Nawawi, 37, kononnya ‘kaki betina’.

Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) itu yang dihubungi tidak melenting akan dakwaan seumpama itu.


Sebaliknya dengan intonasi tenang, bintang filem Santau itu sekeras-kerasnya menafikan segala khabar angin yang bertiup kencang itu.


Sebelum ini nama Fauzi pernah dikaitkan dengan isu ‘playboy’ dan kononnya berlaku kecurangan, tetapi dinafikan kedua-dua pasangan terbabit.


Terbaru, Fauzi sekali lagi dikaitkan dengan isu sama meskipun mempunyai dua anak iaitu Nur Aini Farhana, setahun 10 bulan, dan Nur Aina Fazneesya, lima bulan, sejak berumah tangga hampir tiga tahun bersama Lisdawati.


“Bukan sekali cerita seperti ini diajukan kepada saya. Malah, saya naik penat untuk bercerita mengenainya yang ada kalanya melangkaui kisah kerjaya saya. Hubungan saya dan suami berada pada fasa kebahagiaan.


“Tidak sesekali saya mempercayai segala gosip atau spekulasi yang timbul kerana ia tidak berasas dan lebih berbaur cemburu.


“Saya ingin mencabar sesiapa saja yang menjaja cerita busuk seperti ini supaya tampil ke depan, bersemuka dengan saya lengkap bersama bukti sahih. Jangan hanya pandai membawa cerita semata-mata,” katanya.

Aktres kelahiran Kuala Lumpur berusia 31 tahun itu tidak menolak kemungkinan wujud unsur cemburu dan dengki terhadapnya atau suami sehingga cuba meruntuhkan kebahagiaan mereka.


Melihat spekulasi yang masih memperkatakan isu sama, Lisdawati yang sebelum ini pernah menjadi juara Sehati Berdansa bersama Fauzi hanya reda dan terus berdoa untuk dikuatkan semangat.


Dia berkata, tiada siapa mampu menghentikan orang daripada terus bercakap.


“Yang wajib dijadikan panduan adalah sikap optimis terhadap suami dan kekal percaya dengan hubungan cinta kami. Bukan mahu berdiam diri atau berlakon tidak tahu menahu, namun saya sudah selidik dan ternyata ia hanya omong kosong yang cuma ingin mengeruhkan keadaan.


“Kami banyak berbincang dan sentiasa mencari ruang untuk duduk mencari konklusi. Hati isteri mana yang tidak sedih apabila mendengar cemuhan sebegitu terhadap suami, namun bila difikirkan semula, untuk apa saya bersedih kerana kebenarannya di depan mata.


“Bayangkan, saya dan suami sentiasa bersama kerana menjalani penggambaran untuk dua telefilem iaitu Sebelum Akhirat dan Anak-Anak Lorong serta sebuah drama bersiri, Buih-Buih Cinta bersama sejak Januari lalu hingga hari ini,” katanya yang mengakui membaca sebuah ruangan pojok yang cenderung mengisahkan kelakuan suaminya baru-baru ini.


Justeru, dia ingin bertanya bila agaknya ruang yang dia terlepas pandang akan tingkah-laku suami sedangkan 24 jam bersamanya.


Lisdawati turut menjelaskan, senario ‘kaki betina’ atau ‘main kayu tiga’ adalah lumrah dalam kehidupan selebriti sepertinya.


Malah dengan yakin Lisdawati mengakui situasi sebegitu memang wujud di kalangan segelintir artis, tetapi bukan suaminya.


“Sebelum setuju berkahwin, saya dan suami menceritakan segala-galanya baik masalah peribadi mahupun kisah silam kami. Kami teruskan perkahwinan selepas yakin dan percaya antara satu sama lain.


“Saya bukannya bodoh untuk berdiam diri saja... selepas berbincang dan bersemuka, jelas segala tohmahan itu tidak tepat sama sekali.


“Saya kenal suami saya. Sepanjang kami berkahwin, tidak sekalipun saya merasa kosong tanpa perhatian, belaian dan kasih sayang daripadanya. Setiap malam dia bersama saya jika tiada penggambaran. Fauzi suami dan ayah yang bertanggungjawab.


“Kini, saya dan Fauzi merancang mengadakan majlis bersanding setiap 10 tahun bagi meraikan ulang tahun perkahwinan. Kelakarnya, saya dan Fauzi juga berharap kami masih kekal romantis walaupun mencecah usia 60 tahun.


“Dugaan ini terbesar dalam hidup saya. Mungkin kerjaya tidak menguji mana, namun jelas perkahwinan saya punya ujian terhebat.


“Usah terus bercerita tanpa asas, jika benar itu adalah kebenaran yang perlu saya terima, tampillah ke depan dan tunjukkan saya buktinya,” katanya.


Pasangan yang diijabkabulkan pada 9 September 2007 itu bermula daripada perkenalan di set penggambaran.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-