Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Monday, March 8, 2010

Ulasan Filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie

Share








BINTANG
Keseluruhan: 1
Lakonan: 1
Plot: 1
Sinematografi: 1.5




Kehidupan Nabil Raja Lawak mungkin membosankan... dan malangnya ia telah dipaparkan melalui filem pertama arahan Aminah Rhapor, "Lu Pikirlah Sendiri de Movie" (LPSdM). Berpotensi menjadi sebuah filem yang bagus memandangkan ia menampilkan Nabil yang sememangnya seorang pelawak yang bagus, malangnya filem ini gagal kerana ianya tidak kelakar, mencuit hati dan tidak berbaloi untuk ditonton. Menurut Aminah, filem ini berdasarkan 70% kehidupan Nabil sebelum beliau memenangi gelaran Raja Lawak musim ke-2. Walaubagaimanapun ia bukanlah sudut yang sesuai untuk difokuskan memandangkan plot ceritanya tidak konsisten dan tiada fokus.
Mengisahkan susah-senang kehidupan Nabil yang bekerja sebagai seorang penghantar surat pada siang hari dan seorang penjual char kuey teow di waktu malam pula, ia turut mempamerkan kisah cinta pelik antara Nabil dan seorang gadis kaya yang dilakonkan oleh pendatang baru, Puteri Sarah Liyana. Namun secara realitinya, Nabil tidak berjaya memikat gadis tersebut memandangkan terdapat perbezaan yang ketara antara mereka. Sudah pasti penamat filem ini berbeza dengan realiti.

Selain mengikuti perjalanan kisah mereka, kita berpeluang menyaksikan kumpulan popular Meet Uncle Hussain (MUH) menyanyikan lagu-lagu mereka seperti "Mula", "La La La Kerjalah" dan "Lagu Untukmu" di pelbagai babak berbeza di sisi Nabil. Tidak dinafikan lagu-lagu yang diselitkan menghiburkan, namun penglibatan mereka sebagai watak kecil dilihat seperti tidak masuk akal terutama sekali saat filem ini mencapai penghujungnya. Ada kalanya terasa seperti filem ini dibuat untuk mempromosi MUH memandangkan terlalu banyak muzik mereka dimainkan. Memang benar Taja daripada MUH merupakan pengarah muzik untuk filem ini. Namun ia tidak bermakna lagu-lagu mereka boleh diselit sesuka hati sehingga mampu membuat penonton bosan. Selain daripada itu, penonton juga akan terasa menjengkelkan apabila terpaksa melihat terlalu banyak jenama GIVI dipamerkan dalam filem ini. Ini dapat dilihat melalui barisan pelakon yang terpaksa memakai topi, jaket dan menunggang motosikal buatan GIVI. Kepada yang tidak tahu, GIVI adalah sebuah syarikat yang menghasilkan aksesori motosikal dan merupakan penaja utama dalam pembikinan "LPSdM".

Penonton perlu bersedia untuk sebuah kisah yang mengelirukan kerana jalan cerita yang dipersembahkan sememangnya tidak konsisten dan masuk akal. Watak-watak dalam filem ini sememangnya tidak mempunyai kekuatan tersendiri dan kelakuan mereka pasti akan menjengkelkan anda. Kita ambil saja watak Sarah Liyana sebagai contoh. Kita boleh saksikan dia akan memandu ke tempat Nabil berada hanya untuk marah, mencaci atau melakukan perbuatan yang jahat ke atas Nabil. Ini semua hanya kerana Nabil berpendapat bahawa dia seorang yang terlalu dimanjakan dan tidak menghargai peluang untuk belajar. Namun yang peliknya dia telah jatuh cinta kepada Nabil tanpa kita ketahui sebab sebenarnya! Bercelaru bukan?

Sarah Liyana dan Mila dari Akademi Fantasia Musim 5 membuat kemunculan pertama di layar perak. Lakonan Sarah Liyana yang teruk dapat dilihat menerusi wataknya sebagai Natasya kerana tidak berjaya menjiwai watak dan sentiasa kelihatan seperti ingin ketawa. Dia tidak mampu mempersembahkan dirinya sebagai seorang pelakon langsung! Bagi barisan pelakon lain, masih banyak lagi yang boleh diperbaiki. Ada juga selebriti terkenal yang membuat kemunculan 'cameo' seperti Hisham Ahmad Tajuddin, Zizan Raja Lawak, Vanida Imran, Faizal Tahir, Aziz M. Osman, Amy Search dan Harun Salim Bachik.

Walaupun kemunculan Nabil, promosi yang dijalankan dan kontroversi yang berkaitan dengan Puteri Sarah Liyana dan kekasihnya yang bergaduh ketika majlis pra-tonton "LPSdM" secara tidak langsung menaikkan sedikit populariti kepada filem ini, ia tidak bermakna "LPSdM" menarik ditonton. Ini kerana ia tidak mempunyai 'umph' yang mampu membuat penonton berasa kagum dengan 'kehebatan' yang cuba dipersembahkan.

"Lu Pikirlah Sendiri de Movie" akan ditayangkan bermula 11 Februari 2010!

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-