Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Thursday, March 18, 2010

Lembaga Penapisan Filem : Rempit V3 Samseng Jalanan adalah filem terakhir berunsurkan rempit di Malaysia

Share








ADEGAN digilis lori sehingga isi perut terkeluar, pergaduhan dan perlumbaan haram membabitkan Mat Rempit antara taruhan filem baru, V3: Samseng Jalanan arahan sulung Farid Kamil.

Filem genre aksi ini menampilkan Farid sebagai pelakon utama di samping Lisa Surihani, Aqasha, Bront Palarae dan Intan Ladyana. Di sebalik menantikan tayangan filem ini pada 11 Mac nanti, ia sudah menarik perhatian ramai berikutan kontroversi sebelum ini.

Ketika filem ini siap selepas menjalani penggambaran pada Ogos 2008, ia berdepan kemungkinan diharamkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana hampir 60 peratus adegan yang dipaparkan membabitkan aksi Mat Rempit berlumba secara berbahaya di jalan raya.

Begitu juga kejayaan filem komedi romantik, Adnan Sempit arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang ditayangkan pada 14 Januari lalu didakwa Farid sebahagian plot filem itu diciplak daripada ideanya. Bagaimanapun, ketika Farid ditemui pada tayangan perdana filem itu di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini, dia tidak mahu ulas panjang mengenai perkara itu.


Bagi Farid, perasaannya lega apabila filem itu akhirnya lulus LPF walaupun diklasifikasi 18 PL. Sebagai pengarah baru, dia melihat karya arahan pertamanya ini masih mempunyai kelemahan daripada aspek karakter antara pelakon dan struktur penceritaan.

"Saya puas hati dengan lakonan mereka termasuk filem ini walaupun 20 peratus dipotong membabitkan adegan Mat Rempit melakukan aksi wheelie, wheelie-kang (angkat tayar belakang) dan cara mereka memboloskan diri daripada sekatan polis.

"Pada saya, adegan yang dipotong tidak mengganggu plot filem ini. Jika menerusi filem lalu, Remp-It (2006), ia salam perkenalan saya kepada penonton untuk menunjukkan budaya berbahaya yang dilakukan Mat Rempit manakala filem ini pula menjadi penyelesaian pada kisah yang dipaparkan.

"Filem ini juga boleh dikatakan luahan suara Mat Rempit dan saya sendiri yang pernah melalui pengalaman berlumba 15 tahun lalu. Bagaimanapun, apa yang dipaparkan bukanlah kisah benar mengenai diri saya.

"Saya bukan mahu angkat Mat Rempit sebagai hero filem ini, tetapi watak yang dilakonkan menggambarkan kehidupan sebenar mereka," katanya.


Farid berkata, garis panduan baru yang dikeluarkan LPF selepas filem ini siap menyatakan ia tidak boleh memaparkan adegan kumpulan Mat Rempit beraksi termasuk yang mengghairahkan. Ini bermakna, filem ini menjadi filem terakhir yang lulus LPF membabitkan aksi Mat Rempit.

"Produser, David Teo meletakkan harapan dan kepercayaan kepada saya supaya terus fokus menghasilkan filem aksi selepas ini. Ia memang menjadi impian saya untuk mengarah filem aksi.

"Seperti filem ini, dialog yang diucapkan watak sudah memadai untuk menggambarkan luahan hati Mat Rempit. Sebelum menyiapkan filem ini, saya mengambil inspirasi Osman Ali ketika mengarah Anak Halal sebagai panduan dalam menghayati proses pembikinan filem.

"Saya sebenarnya menyesal apabila mengarah dan berlakon serentak dalam filem ini. Ia memang suatu kerja yang sukar untuk dilaksanakan dan memenatkan.

"Namun, saya akan terus berusaha timba pengalaman baru dan selepas ini, saya berhasrat menghasilkan filem genre cinta dan aksi," katanya.

David pula berkata, produksi MIG Production Sdn Bhd turut melakukan penapisan sendiri terhadap filem terbitannya sebelum dihantar ke LPF. Menerusi perbincangan dengan LPF sejak lima tahun lalu, dia diberi tunjuk ajar mengenai garis panduan yang ditetapkan LPF.

"Ada sedikit adegan aksi dan 'panas' dalam filem ini yang dipotong, tetapi ia tetap tidak menjejaskan plot. Sebenarnya, bukan adegan yang dipotong, tetapi beberapa syot yang mengambil durasi kurang lima minit.

"Apapun, saya sangat berpuas hati dengan kualiti sistem bunyi dalam filem ini yang menggunakan Dolby Digital Surround EX. Saya juga puas hati dengan pengarahan Farid hinggakan saya beri peluang pada dia untuk mengarahkan filem baru pada April nanti," katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-