Search in my-sensasi !! upgraded

Loading...

RECENT POST @ Entri Terkini

Saturday, March 13, 2010

Ammar Mengaku Kurang Ajar, Mohon Maaf Kepada Media

Share








TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Aktres ‘bermasalah’ Ammar Alfian Aziz akhirnya membuat pengakuan maaf secara terbuka di Bilik Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Pelakon drama Tari Tirana itu memohon maaf berhubung ugutan bunuh wartawan hiburan di Facebook selepas lebih sebulan mendiamkan diri.

Beberapa hari selepas dia dihentam media, Ammar mengadu kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melalui aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda.

Dari situ, dia mendapatkan kaunseling dan seterusnya bersetuju untuk membuat pengakuan maaf secara terbuka dalam sebuah sidang media khas yang dianjurkan oleh Seniman.



Ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk memohon maaf, jejaka berusia 22 tahun itu berkata dia terpaksa berbuat demikian atas alasan tersendiri.

“Saya menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Jadi, apabila difikir semula yang saya perlu memohon maaf dengan ikhlas, sebab itu saya terpaksa mengambil masa yang lama.

“Lagipun, saya sibuk dengan penggambaran drama Atilia,” katanya dengan muka yang serba-salah.

Menjelaskan isu melemparkan kata-kata ugutan dan kesat serta berbaur lucah kepada wartawan hiburan di Facebook, Ammar mengaku waktu itu dia terlalu mengikut kata hati sehingga menjadikan laman web sosial itu sebagai tempat untuk meluahkan perasaan marah dan kecewanya.

Semuanya berlaku gara-gara artikel ‘Artis cemburu tak bertempat’ yang terang-terangan ditujukan kepadanya.

Walaupun ugutannya seolah-olah merujuk semua wartawan hiburan, namun dia sebenarnya hanya menujukan kata-kata itu kepada wartawan yang terlibat.



“Saya masih baru dan mentah. Sebelum ini orang mungkin hanya mengenali saya menerusi drama Tari Tirana. Setelah apa yang berlaku, saya berasa malu dan terus mengeluarkan kata-kata kesat kepada wartawan.

“Sepatutnya, wartawan itu perlu bertanya kepada saya sebelum mengeluarkan cerita. Apabila cerita itu keluar di Facebook, saya menyedari yang kawan-kawan saya juga terdiri daripada rakan-rakan wartawan.

“Saya faham yang saya telah membuatkan mereka tersinggung. Perkataan membunuh itu keluar disebabkan saya berasa marah dan fikiran saya bercelaru ketika itu. Bagi saya, orang gila sahaja yang nak buat semua itu (membunuh),” jelasnya.

Menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan dia cemburu dengan kekasihnya, pelakon Puteri Sarah Liyana, lelaki yang berasal dari Johor Baru itu menafikannya.

“Saya tak pernah cemburu Sarah bergambar dengan Nabil malah saya hormat dengan kerjanya. Saya juga tidak pernah cemburu dan sakit hati dengan Nabil. Selepas perkara itu berlaku, saya masih menegur dan bergurau senda dengan Nabil.

“Sepatutnya saya tidak perlu berada di majlis itu. Tetapi apabila ibu Sarah mengajak saya turut serta, saya tidak boleh menolak lagi.

“Tambahan pula, saya hendak menemui Zed Zaidi di majlis yang sama,” ulasnya.

Ammar berkata kehadirannya ke situ semalam sekadar untuk berdamai dengan wartawan hiburan dan berjanji tidak akan kurang ajar lagi.

“Saya mengaku silap kerana ‘culture shock’ dan memang kurang ajar. Sepatutnya saya perlu lebih profesional. Jadi, saya ingin membuang yang keruh dan mengambil yang jernih.

“Dengan ini, saya menyusun 10 jari dan memohon maaf kepada semua wartawan hiburan dengan kata-kata kesat yang saya perkatakan.

“Saya harap, tiada sesiapa yang mempersoalkan keikhlasan saya lagi. Kalau tak ikhlas, saya tak akan tampil minta maaf di sini.

“Saya janji perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Saya masih hijau dan baru hendak belajar,” katanya lagi.

Disebalik kontroversi yang berlaku, Ammar turut berterima kasih kepada wartawan kerana telah memberikan publisiti kepadanya.

“Selepas apa yang berlaku, keesokannya saya mendapat tawaran berlakon drama bersiri Atilia dan telefilem Ceritera serta peragaan di dalam dan luar negara. Saya pun terkejut juga,” ujarnya sambil meluahkan perasaan lega.

Dalam sidang media itu, Ammar hadir ditemani Zed Zaidi, Presidennya, Harun Salim Bachik, Setiausaha Agungnya, Yusof Kelana, dan Biro Aduannya, Jehan Miskin.

Namun begitu, kekasih hatinya tidak kelihatan. Kata Ammar, Puteri Sarah sedang sibuk dengan penggambaran sebuah drama untuk TV3 di Port Dickson.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-