Search in my-sensasi !! upgraded

RECENT POST @ Entri Terkini

Tuesday, April 14, 2009

Akibat filem Jangan Tegur,David Teo dan Pierre Andre kini dah tak bertegur

Share








Jangan Tegur, filem yang menjadi detik mula tercetusnya kontroversi antara pengarahnya Pierre Andre dan penerbit filem itu sendiri, David Teo.

Bermula dengan episod meninggalkan lokasi, penggambaran filem yang akhirnya disudahkan oleh orang lain, visual filem yang tidak sempurna, penggambaran semula, melanggar kontrak sehinggalah perang mulut serta ungkit-mengungkit di dada-dada akhbar, episod perbalahan antara Pierre dan David masih tidak bernoktah.

Bahkan, ketika filem terakhir gandingan mereka itu masuk panggung pada 9 April lepas, tiada lagi ruang yang boleh menemukan dua nama itu walaupun untuk promosi filem berkenaan.

Secara kebetulan pula, sekilas tajuk Jangan Tegur itu, seolah-olah membayangkan betapa David dan Pierre jangan lagi ditegur tentang kisah yang mengeruhkan hubungan mereka.

Jika ditegur, bakal terkeluar lagi bermacam-macam kisah dalam kain yang menambahkan bara antara mereka.

Sebagai penerbit, David mahukan yang terbaik untuk setiap sen yang keluar dari poketnya.




Manakala sebagai pengarah, Pierre pula sudah mengharapkan setiap visual yang dirakamkan memberi kesan kepada penonton, barulah sisi sebenar dirinya sebagai pengarah filem generasi baru dapat dihargai pemerhati seni.

Gara-gara kontroversi yang tercetus juga, sampai ke tarikh bermulanya 'perang sebenar' Jangan Tegur di pawagam tempatan, pihak pengedar dan penerbit filem berkenaan masih tidak mempamerkan hasil Jangan Tegur untuk pratonton pihak media.

Cuma sekali, kira-kira dua minggu lalu, filem berkenaan ditayangkan kepada sekelompok pihak yang terdiri daripada wakil stesen TV, penaja serta beberapa wakil media terpilih.

Bukan pratonton seperti biasa, sebaliknya ia diberi gelaran tayangan khas bertujuan sebagai mukadimah kepada pihak stesen TV untuk mendapatkan slot penerbitan drama bersiri kemudian hari.

Sepintas lalu, Jangan Tegur dipuji setiap pasang mata yang pertama kali menyaksikan filem penuh kontroversi itu walaupun kesudahan filem berkenaan tidak mendapat sentuhan si pengarahnya.

"Saya tidak mahu ungkit kisah lalu, biarlah apa yang berlaku jadi tauladan. Apa yang mahu saya tekankan, jika filem Jangan Tegur ini dilihat sebagai filem yang baik, ia bukan hasil kerja seorang sahaja, tetapi atas sokongan dan bantuan orang lain, ini hasil kerja yang berkumpulan.

"Filem ini sendiri dihasilkan oleh sekumpulan krew yang bagus, krew sama yang menghasilkan Jangan Pandang Belakang dan Congkak seperti pengarah fotografi Indra Che Muda, pengarah seni, pengarah muzik dan bunyi serta penolong pengarah.

"Bahkan pengarah dua filem berkenaan, Ahmad Idham banyak membantu mencantikkan Jangan Tegur," tegas David mengelak untuk menyebut nama Pierre Andre.

Masih lagi bercakap tentang kesukaran yang dilalui bagi menyudahkan filem berkenaan, David berharap, penambahan kos sebanyak RM15,000 bagi penggambaran semula filem terbitannya itu sedikit membuatkan dirinya serik.

Dia serik kerana terlalu percayakan seseorang menyebabkan dia berdepan situasi penggambaran semula yang kali pertama berlaku kepada dirinya sejak menerbitkan puluhan filem bertahun sudah.

Apapun, pinggirkan seketika perdebatan atau apa sahaja pergeseran di antara si penerbit dan pengarah Jangan Tegur itu kerana Jangan Tegur sendiri sebuah filem seram yang berbaloi untuk ditonton awal tahun ini. Ada juga yang menyifatkan inilah filem 'terbaik' Metrowealth setakat ini.

Bagi pemerhati filem, ada yang sependapat, asas yang baik, benih dan idea yang baik tetap berupaya menjadi sebuah karya yang baik walaupun proses yang dilalui sangat berliku.


Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-