Search in my-sensasi !! upgraded

RECENT POST @ Entri Terkini

Thursday, March 5, 2009

Nasib menyebelahi Amir - LNJ gagal ke final Gelanggang Raja Lawak 3

Share








Amir memeluk John anggota kumpulan LNJ

Sepah berjaya ke Final

SANGKAAN ramai bahawa Amir yang akan mengucapkan selamat tinggal meleset apabila kumpulan LNJ yang terpaksa memberi lambaian terakhir dari pentas Gelanggang Raja Lawak musim ketiga, minggu kesembilan, Jumaat lalu.
Barangkali ucapan 'I'm sorry' yang menjadi tagline Amir itu khas ditujukan buat LNJ kerana menjadi galang-ganti kepada dirinya untuk ke final Gelanggang Raja Lawak 3.
Tercicir seminggu sebelum final menjadi detik paling sayu buat LNJ yang dianggotai dua peserta dari Pulau Mutiara, Lan dan John atau nama sebenar mereka Afzan Saffuzn Ahmad, 22, dan Wan Sharizon Rahim, 27.
"Saya sayu nak tinggalkan kawan-kawan dan terkenangkan penyokong yang banyak berhabis untuk kami.
"Sedih tentulah sedih tapi bukan boleh buat apa sebab SMS penonton dah tentukan begini," jelas salah seorang anggota LNJ, Lan yang tidak terkilan meskipun dari segi kemantapan lawak, LNJ lebih berpotensi berbanding Amir yang disifatkan terselamat hanya kerana bernasib baik.
Dibandingkan antara LNJ dan Amir, mereka cuma dibezakan dengan peratus undian yang tidak terlalu ketara, LNJ dengan 21.6 peratus, manakala Amir pula 21.8 peratus. Ini yang melayakkan Amir bersama-sama dengan Jihan yang memperolehi 30.6 peratus dan Sepah yang mengumpul 25.9 peratus untuk ke kemuncak Raja Lawak 3.
"Jangan pandang rendah terhadap Amir kerana dia kadang-kadang ada magis yang boleh buat orang suka," kata John yang menolak kemungkinan bahasa dialek Pulau Pinang menjadi penyebab lawak mereka tidak mendapat sokongan seluruh peminat.
Beritahu John, mereka selesa dengan dialek yang dipertuturkan sejak kecil dan jika mencuba-cuba untuk berlawak tanpa dialek Pulau Pinang, lawak mereka akan serba tidak kena.
"Nanti orang kata kami memerli bahasa pula, baik kami cakap Penang, rasanya semua orang faham," getus Lan pula.
Amir yang tersenarai ke final pula mulanya diselubungi rasa bersalah kerana sepanjang pementasan di Gelanggang Raja Lawak minggu kesembilan, persembahan lawaknya tidak menjadi.
Dikritik juri sebagai statik dan tiada peningkatan dari awal hingga ke penghujung, Amir sebenarnya sedikit terkesan.
"Bila LNJ yang terkeluar, timbul sedikit rasa bersalah tapi ini pilihan penonton. Saya akui persembahan saya tidak menjadi, saya kekok dan tergagap-gagap mungkin kerana terlalu hendak bercakap seperti orang KL. Saya takut kalau saya cakap dialek Kelantan, ramai yang tak akan faham lawak saya," jelas Amir sedar dikecam kerana tersenarai ke final atas rasa simpati penonton.
APAKAH Jihan mampu mencipta sejarah sebagai peserta wanita pertama menjuarai Gelanggang Raja Lawak.
Harapan Amir, peluang beraksi ini tidak akan disia-siakan menjelang pencarian Raja Lawak musim ketiga yang sampai ke garisan penamat malam esok.
Bertempat di Dewan Auditorium MPBJ, Petaling Jaya (MPPJ), tiga finalis yang telah dipilih seratus-peratus oleh juri SMS, Sepah, Jihan dan Amir bakal bertarung sifat humor, siapakah di kalangan mereka buat kali yang terakhirnya akan ditentukan sekali lagi oleh juri SMS untuk bergelar Raja Lawak 3?
Dilihat dari segi kekuatan secara keseluruhan, Sepah berada di tahap selesa, kukuh dan tidak tercabar kerana dari segi kuantiti dan karakter, tiga jejaka yang kini sudah diterima sebagai pelawak semula jadi. Jep, Shuib dan Mamat yang mewakili Sepah ada keunikan serta peminat masing-masing. Jika dibandingkan dengan calon perseorangan iaitu Jihan dan Amir, Sepah ternyata lebih berpeluang.
Mendapat undian antara yang tertinggi serta puji-pujian daripada juri tetap, juri jemputan, media bahkan penonton sendiri, Sepah bagaimanapun secara naif mengakui kelemahan mereka.
"Selama ini kami akan berfikir secara berasingan untuk mendapatkan idea, kemudian barulah ia digabungkan. Tetapi malam penentuan nanti, kami kena cepat dan berbincang secara berkumpulan," getus Jep membongkar rahsia kelemahan mereka.
Sekalipun menerima respons memberangsangkan, Sepah tidak pernah selesa dengan memikirkan saingannya hanyalah Amir, si jejaka genit yang selalu goyah di pentas serta Jihan, satu-satunya peserta wanita yang banyak keterbatasan dalam melawak.
"Jihan bukan calang-calang memandangkan dia seorang wanita dan muncul sendirian. Itupun dia masih bolehkan kalahkan kami dan ramai peserta lelaki lain. Kalau kami jadi Jihan rasanya kami sendiri tidak mampu.
"Amir pula diminati semua lapisan masyarakat dan bukan hanya orang Kelantan yang menyukainya. Jadi, kami kena lebih bersedia menjelang kemuncak (malam esok)," kata Jep.
Siaran langsung kemuncak Gelanggang Akhir Raja Lawak 3 malam esok bakal diserikan dengan kehadiran pelawak-pelawak terkenal tanah air seperti Yahya Sulong, Hamid Gurkha serta bekas peserta Raja Lawak musim terdahulu.
TERIMA KASIH. Amir (kanan) begitu terharu dapat mara ke final sehingga memeluk salah seorang anggota LNJ, John.
Juara Raja Lawak 3 akan membawa pulang sebuah kereta jenama Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro. Naib juara pula akan menerima sebuah motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000, barangan elektrik serta trofi manakala pemenang tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM8,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.
Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-