Search in my-sensasi !! upgraded

RECENT POST @ Entri Terkini

Sunday, February 22, 2009

Roslin Hashim Kahwin 12 Hari, Bercerai

Share








Inai masih merah di tiga jari kiri, namun takdir menentukan jodoh jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, dengan Faizah Mohamad, 32, tidak panjang.

Pasangan pengantin baru itu yang bernikah pada 30 Januari lalu cuma sempat melayari bahtera rumah tangga selama 12 hari apabila mereka bercerai pada 11 Februari lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai Roslin kerana perceraian itu terjadi ketika dia sedang bersiap-siap menghadapi kejohanan badminton Terbuka India pada bulan depan, apatah lagi kedua-duanya belum sempat menikmati detik manis berbulan madu.

Ketika ditemui, Roslin berkata dia melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, sekitar jam 10.50 malam di hadapan mereka.

“Tiada sesiapa memaksa saya melafazkan cerai. Cuma sebelum lafaz itu keluar dari mulut saya, ayah mentua minta saya fikir dulu kerana mereka tidak nampak kami bersengketa, tapi saya yang hidup bersama anaknya lebih memahami mengapa saya membuat keputusan itu.

“Saya hanya melafazkan talak satu kepada dia. Sejak berpisah saya tidak berjumpa lagi dengan dia. Saya pun sudah kembali hidup di rumah bujang saya sebelum ini di Wangsa Maju,” katanya.

Agak berat untuk Roslin menceritakan mengapa perceraian itu terjadi kerana ia terlalu peribadi. Cuma apa yang boleh dikata selepas tiga hari menjadi suami, dia mulai berasa tiada keserasian.

“Selepas tiga hari, saya mula terfikir ke arah mana rumah tangga saya ini. Sebabnya, saya terasa seperti tidak dilayan seperti suami, tiada hormat pada saya tetapi saya masih beri dia peluang.

“Selepas seminggu melihat keadaan tidak berubah, saya sedar rumah tangga saya tidak boleh diselamatkan lagi,” kata Roslin yang merancang berbulan madu bersama isteri di Perth, Australia.

Roslin dan Faizah mengikat tali pertunangan pada 1 November lalu dan jika mengikut perancangan, pasangan itu sepatutnya berkahwin pada 25 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda kepada 1 Februari kerana Roslin perlu bersiap menghadapi Terbuka Malaysia dan Korea 2009.

Majlis persandingan di rumah pihak perempuan diadakan pada 1 Februari lalu, manakala bertandang di rumah keluarga lelaki di Kampung Sirih, Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Februari iaitu tiga hari sebelum Roslin dan Faizah berpisah. Hantaran untuk Faizah RM15,000.

Sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai suami, kata Roslin, dia sudah pun membeli sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, dan projek itu dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

“Saya membeli rumah itu pun kerana mahu berdekatan dengan kediaman mentua. Lagipun ia tidak jauh dengan tempat latihan badminton saya di Bukit Jalil. Memanglah tidak sabar untuk saya menghuni rumah itu bersama seorang isteri, tetapi lain pula yang terjadi,” katanya.

Bagi Roslin, kenyataan dibuat tidak bermaksud untuk memalukan sesiapa, apatah lagi keluarga bekas isterinya itu, namun sebaliknya dia rasa begitu tertekan dengan dilema dihadapi kerana masih ramai terutama peminat badminton serta rakan taulan mengucapkan selamat pengantin baru padanya.

“Kebelakangan ini ke mana-mana saya pergi, ramai yang ucap selamat pengantin baru pada saya. Saya hanya mampu tersenyum dan membalas terima kasih di atas ucapan itu. Hakikat di sebaliknya, ramai yang tidak tahu saya sudah bercerai dan hanya menjadi suami tidak sampai pun dua minggu.

“Saya harap dengan kenyataan ini, masyarakat memahami situasi yang saya hadapi. Tiada orang berkahwin untuk bercerai, tetapi sebagai insan kita tidak dapat menolak qada dan qadar Allah.

“Ujian ini sudah tertulis untuk saya menghadapinya, bagaimana untuk saya mengelak,” katanya.

Roslin yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, menjadikan keluarga Jailani Sidek sebagai keluarga angkatnya. Selepas melafazkan cerai, dia terus menghubungi Jalani memberitahu apa yang terjadi.

“Saya buntu sangat selepas apa yang terjadi pada diri saya. Syukurlah Jalani dan abangnya, Datuk Misbun Sidek menghormati keputusan saya dan minta saya bertenang,” katanya.

Sementara itu isteri Jalani, Raja Azmi Raja Sulaiman turut bersedih terhadap apa yang terjadi kepada Roslin. Tekanannya juga dirasai kerana selain menjadi perancang perkahwinan, dialah yang menjadi orang tengah menemukan Roslin dengan Faizah hingga kedua-duanya bersedia untuk berkahwin.

“Dua tiga hari ini fikiran saya turut terganggu kerana ada pihak menuduh saya tersalah mencari jodoh buat Roslin. Soal jodoh, kita cuma mengaturkan kerana mana kita tahu kaca dan permata.

“Sudah tersurat jodoh Roslin pendek, kita terima saja apa yang ditentukan Ilahi,” katanya.

Di sebaliknya, Roslin belum pasti bilakah dia dan pasangannya akan ke mahkamah kerana esok baru dia akan berjumpa peguam bagi memaklumkan perceraian itu
Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-