Search in my-sensasi !! upgraded

RECENT POST @ Entri Terkini

Wednesday, February 18, 2009

Perkahwinan Que Haidar dan Linda

Share













Linda mahu anak segera




DITEMUI selepas tamat majlis pernikahan dan resepsi persandingan pelakon popular, Que Haidar, 30, dan guru tari terkenal, Linda Jasmine, 37, yang diadakan di Restoran Bora Ombak, Ampang, Sabtu lalu, riak gembira jelas terpancar pada raut wajah kedua-dua mempelai.

Walaupun kelihatan penat, Que dan Linda tidak mampu untuk menyembunyikan isi hati bergelar raja sehari, lantaran keesokan harinya mereka mula menjalani kehidupan bersama-sama sehingga ke akhir hayat.


Que dan Linda tidak henti-henti menguntum senyuman manis. Rupa-rupanya senyuman manis pada bibir mereka punya maksud tersurat dan tersirat.


Linda tanpa berselindung mengakui tidak sabar untuk menimang cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama Que.

Barangkali ada peminat yang terkejut. Sedangkan Linda diketahui umum sebagai seorang jurulatih tari yang memerlukan dirinya untuk bergerak bebas, apatah lagi bidang tarian menjadi cinta sejatinya sejak dari dahulu lagi.


"Saya memang hendak ada anak," jawab Linda ringkas sambil tersenyum manis apabila diajukan pertanyaan oleh pihak media.

Beritahu Linda, walaupun selepas bergelar isteri, dia tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa, bergelar guru tari, namun perihal anak memang tidak pernah terlepas dalam direktori hidupnya.

"Insya-Allah, kalau boleh saya hendak anak dalam masa yang terdekat, tanpa perlu dirancang atau ditunggu-tunggu lagi.


"Soal kerjaya saya sebagai seorang guru tari dan kalau mengandung selepas ini, rasanya ia boleh diaturkan.

"Saya berserah semuanya kepada Yang Maha Esa. Saya harap tidak akan ada sebarang masalah kelak," jelasnya sambil mengerling manja ke arah Que.

Que dan Linda dinikahkan oleh jurunikah dari Kampung Melayu, Ampang, Abu Sapian Jasin pada pukul 5.50 petang di restoran itu.

Linda menerima mas kahwin sebanyak RM1,101 dan senaskhah al-Quran sebagai hantaran.


Sebagai balasan pula, Linda menghadiahkan suaminya sebentuk cincin.

Que sendiri tidak mampu daripada menyembunyikan keterujaan bergelar seorang bapa, apatah lagi dia kini sudah bergelar 'bapa segera' kepada Qalif Khan yang berusia lapan tahun.

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk Que menjaga seorang kanak-kanak. Ditambah dengan tidak berpengalaman mengendalikan telatah kanak-kanak yang sukar dijangkakan, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Que.


Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor itu dengan jujur menjelaskan, sebelum ini dia pernah duduk dan berbincang dengan Linda tentang perangai dan personaliti sebenar Qalif.

"Saya bercerita, malah bertanya kepada Linda cara-cara untuk menguruskan Qalif.

"Secara peribadi, saya melihat Qalif merupakan seorang kanak-kanak yang bijak dan baik.

"Biasalah, kalau kanak-kanak nakal, itu sudah menjadi lumrah dan tidak mampu untuk disangkal lagi. disebabkan kenakalannya, dia pandai membuatkan saya terhibur.

"Saya juga berfikir tentang pelajaran Qalif di sekolah dan bagaimana untuk menguruskan Qalif apabila dia sudah dapat adik baru nanti. Bermacam-macam rancangan sudah ada dalam kepala saya dan Linda.

Memang saya sudah bersedia untuk ada anak. Dengan kehadiran Qalif dan kemungkinan dengan kelahiran anak saya dan Linda nanti, pasti kehidupan saya akan menjadi lebih bermakna," balas Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar yang tampil segak dan bergelar raja sehari.

Kemesraan tiga beranak itu memang terlihat sendiri, tanpa perlu dibuat-buat. Saat pihak media mewawancara Que dan Linda di pelamin, Qalif datang menerpa ke arah mereka sambil duduk di tengah-tengah pasangan mempelai.


Paling melucukan, apabila tiba saat Linda dan Que mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penaja, malah terfikir-fikir pihak lain yang menaja agar tidak ketinggalan walaupun satu pihak, tiba-tiba Qalif bersuara dalam nada bersahaja.


"Macam mana dengan saya pula?," soal Qalif sambil disahut hilaian tawa hadirin dan pihak media.

Que dan Linda sendiri sudah tergelak besar mendengar ayat Qalif yang juga mahukan perhatian.

Pantas Que menjawab: "Terima kasih juga kepada Qalif."

Linda pula sempat memohon maaf secara terbuka kepada Qalif yang seakan-akan terasa diabaikan untuk tempoh dua minggu, kerana dia sibuk mengadakan persiapan untuk bergelar raja sehari.

"Qalif banyak bersabar dengan saya selama ini. Dengan saya yang berkejar-kejaran ke sana ke mari, memastikan persediaan untuk perkahwinan ini.

"Dia macam tidak dapat cukup perhatian," akui Linda enggan berselindung.

Sepantas kilat kata-kata Linda dijawab oleh Qalif: "Untuk sepuluh hari sebenarnya."

Begitulah kemesraan Que, Linda dan Qalif, yang masing-masing mula mengerti mereka akan bernaung dalam satu institusi kekeluargaan untuk selama-lamanya.

Jalani hidup seperti biasa

Lantaran jadual kerja yang menunggu kedua-duanya selepas ini, namun beritahu Linda, dia dan Que sentiasa memastikan dapat meluangkan masa untuk bersama-sama.

Bahkan Linda memberitahu, tiada sebarang perancangan untuk dia mengurangkan aktiviti seni hanya semata-mata telah bergelar isteri, memandangkan kehidupannya memang sentiasa terisi dan sibuk.

Linda juga perlu menguruskan studio, tanpa melupakan tanggungjawab terhadap anak tunggal kesayangannya itu.

"Kalau ada tawaran kerja, sayang pula hendak tolak rasanya. Cuma ia bergantung kepada keadaan. Kalau selepas ini kerja kurang pun, saya tidak kisah.

"Sebab saya boleh habiskan masa untuk rumah tangga dan studio," ungkap Linda yang cukup seronok bergelar isteri kembali kerana selepas ini, dia bukan sahaja tidak lagi keseorangan, malah ada tempat untuk bergantung dan mengadu.

Perhubungan mereka terjalin agak pantas. Menjelang konsert akhir AF6, kedua-duanya mulai rapat. Maka, mereka bermula ingin mencambah cinta yang terlahir dalam jiwa masing-masing.

Linda menghuraikan, dia amat selesa dan gembira saat dapat bersama dengan pelakon yang terkenal membawakan watak jahat itu.

"Sebenarnya saya tak pernah terfikir langsung untuk jatuh hati, tetapi ia datang secara semula jadi.

"Dia tanya tentang perkahwinan dan kemudiannya subjek semakin kerap dibincangkan, lalu keakraban kami terjadi begitu pantas," akui Linda yang sebelum ini bergelar ibu tunggal dan bersendirian hampir lima tahun.

Berbalik soal majlis perkahwinan Que dan Linda, resepsi yang berlatar belakang putih melambangkan kesucian, menjadi pilihan utama kedua-dua mempelai.

Dilangsungkan dalam atmosfera romantis apatah lagi hari mereka diijabkabul dan duduk di singgahsana indah sebagai raja sehari, merupakan Hari Valentine, maka resepsi itu menjadi lebih signifikan kepada pasangan mempelai.

Semasa pengantin mula hendak melangkah masuk ke pekarangan Bora Ombak, hadirin dihiburkan dengan alunan gamelan yang cukup mendamaikan, ditambah dekorasi pelamin dan suasana sekitarnya yang bertemakan ala taman di Bali.

Resepsi persandingan Que dan Linda yang dihadiri 400 tetamu di kalangan keluarga dan sahabat handai, turut diserikan dengan persembahan nyanyian rangkaian lagu memikat jiwa yang didendangkan oleh Amylea, Farhan dan Riz, yang juga merupakan anak didik Linda semasa di Akademi Fantasia (AF).

Antara artis yang turut hadir ialah Linda Onn, Dafi, Nana, Rosma dan Khai, Lufya, Ajai, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.

Resepsi perkahwinan di sebelah pihak Que pula akan diadakan 15 Mac nanti di Dewan Felda Taib Andak, Kulai dengan menampilkan konsep di raja.

Sebelum menutup bicara, Que dan Linda sempat menitipkan kata-kata agar peminat tidak lupa hendak mendoakan kesejahteraan dan kerukunan rumah tangga mereka.

"Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan untuk kami. Harap perhubungan kami ini akan berkekalan buat selama-lamanya," ucap Que dan Linda serentak sambil mereka menggenggam dengan erat tangan masing-masing.

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-