Search in my-sensasi !! upgraded

RECENT POST @ Entri Terkini

Monday, October 1, 2007

Apa Rahsia Kad SIM yang Ditelan?

Share










KUALA LUMPUR: Kad SIM telefon genggam yang ditelan oleh suspek wanita Indonesia yang ditahan polis 12 tengah malam Jumaat lepas dipercayai mengandungi maklumat penting bagi menyelesaikan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.
Menurut sumber polis, mereka sedang berusaha mengeluarkan kad SIM tersebut yang ditelan oleh suspek berumur 23 tahun itu semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dari ibu pejabat polis di Bukit Aman semalam.
Tindakan suspek itu menyebabkan dia tercekik dan hampir pengsan semasa polis membawanya ke Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari.
"Usaha mengeluarkan kad SIM agak sukar dan polis sedang melakukan yang terbaik. Kad SIM tersebut mungkin memberi petunjuk dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bernama difahamkan kad SIM yang ditelan oleh suspek dipercayai mengandungi maklumat tentang nombor telefon dan panggilan yang dibuat oleh wanita tersebut kepada bapa allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil semasa kehilangannya tempoh hari.
Wanita itu yang bekerja di sebuah gerai di Pasar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan dipercayai terbabit mengurung Nurin Jazlin.
Selain wanita Indonesia itu, polis turut menahan lima orang berusia antara 27 dan 33 tahun termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan kanak-kanak berusia lapan tahun itu dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 7, Shah Alam pada Khamis lepas.
Wanita yang ditahan pada Khamis malam dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Sementara itu, sumber itu berkata pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihantar ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkaitan rakaman imej kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah premis di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui di Petaling Jaya Utama dekat sini, tiba di Washington hari ini.
Rakaman tersebut dihantar ke makmal Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi membantu siasatan mengecam sama ada imej yang dirakamkan itu menyamai wanita terbabit atau sebaliknya, dan laporan siasatan dijangka disiapkan dalam masa seminggu lagi, katanya.
Sementara itu, keputusan ujian DNA ke atas beberapa helai rambut yang ditemui pada mayat Nurin akan diketahui minggu ini.
"Ujian yang dilakukan ke atas helaian rambut itu akan dipadankan dengan sampel darah yang diambil daripada suspek yang ditahan berkaitan dengan pembunuhan Nurin," katanya.
Menurutnya, Nurin telah disembunyikan dan dibunuh di dua tempat yang berasingan.
Sementara itu, Jazimin ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak mengenali wanita warga Indonesia yang ditahan itu dan sehingga kini polis belum memaklumkan kepadanya perkembangan siasatan kes pembunuhan anaknya.
Beliau berkata keluarganya ingin berjumpa dengan pembunuh sebenar anak keduanya itu. Bernama

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Anda Pelawat yang ke-